Monday, June 14, 2010

...Rejab : fadhilat dan kelebihannya??...

Bismillahirrahmanirrahim...

Sedikit ilmu yang sy ingin kongsikan bersama shbt2 hasil drpd my blogwalking tentang bulan rejab dan kelebihannya...=)
Muqaddimah :

1. Rejab ertinya “Mulia”. Bulan Rejab adalah bulan mulia. Ia diberi nama sedemikian kerana bangsa Arab dahulu sangat memuliakan bulan ini dengan 4 cara iaitu: -

(i) Tanggal 1hb Rejab mereka menyembelih anak unta sebagai qurban.

(ii) Tanggal 1hb Rejab mereka akan membuka pintu Ka’abah siang dan malam agar dapat beribadah dengan sepuasnya.

(iii) Tanggal 10hb Rejab mereka kembali menyembelih qurban tetapi tidak lagi anak unta. Amalan ini telah dibatalkan setelah datangnya Islam.

(iv) Bulan diharamkan berperang, setelah datangnya Islam amalan ini juga telah dibatalkan.

2. Tanggal 27hb Rejab berlakunya peristiwa penting dalam kehidupan Rasulullah SAW iaitu Isra’ dan Mi’raj. Terdapat khilaf di kalangan ulama’ mengenai tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini tetapi jumhur ulama’ bersepakat menerima ianya berlaku pada 27hb Rejab. Tarikh berlakunya Isra’ dan Mi’raj tidaklah penting tetapi umat Islam wajib meyakini bahawa peristiwa ini benar-benar berlaku ke atas tubuh mulia Rasulullah SAW berdasarkan dalil qatie dari al-Quran dan hadis-hadis sahih.

3. Pada bulan ini juga berlakunya peperangan Tabuk pada tahun 9 Hijrah iaitu peperangan terakhir yang disaksikan oleh Rasulullah SAW.

BULAN REJAB MENURUT AL-QURAN

Al-Quran tidak menyebut secara khusus mengenai bulan Rejab dan kelebihannya melainkan terdapat dua surah yang menyentuhnya secara tidak langsung iaitu surah al-Baqarah (ayat 194 dan 217) dan surah at-Taubah (ayat 2, 36 dan 37). Di antara dalil al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud:-
“Bulan haram dengan bulan haram, dan pada sesuatu yang patut dihormati,…”

(Al-Baqarah: 194)

“Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah 12 bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antara 4 bulan haram ¹ …”

(At-Taubah: 36)

Ulama berselisih pendapat kenapa bulan-bulan ini (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab) dinamakan bulan haram.

Pertama, dikatakan bahawa ia disebabkan kebesaran kehormatannya, sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika dilakukan dalam bulan itu.


Ibn Abbas berkata bahawa sesungguhnya Allah mengkhususkan keempat-empat bulan itu, sebagaimana ganjaran besar untuk amalan soleh yang dilakukan dalam bulan itu.

Kedua, dikatakan juga ia dinamakan bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan dalam bulan itu dan ia dalah amat dikenali pada masa jahiliyah dan dikatakan juga ia dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s.

(1) Maksudnya antara lain ialah: bulan haram (bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab)

Dikatakan juga oleh ulama bahawa keempat-empat bulan itu dinamakan haram berikutan pengharaman peperangan disebabkan ibadah haji dan umrah yang dilakukan dalam bulan haram itu. Bulan Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram adalah tiga bulan yang berturutan. Maka, diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal haji melakukan perjalanan ke Makkah dalam bulan itu. Bulan Zulhijjah disebabkan ibadah haji dilakukan dalam itu dan bulan Muharram pula mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Pengharaman ini bagi membolehkan mereka yang mengerjakan haji berasa aman terhadap keselamatan diri. Rejab pula diharamkan lantaran ibadah umrah dilakukan dalam bulan itu pada pertengahan tahun.

BULAN REJAB MENURUT AS-SUNNAH

Berdasarkan dalil al-Quran jelas menunjukkan bahawa bulan Rejab termasuk dalam bulan-bulan yang sangat dimuliakan atau dipanggil juga Al-Ashhur Hurum. Perlu ditegaskan bahawa melakukan puasa dalam bulan-bulan ini adalah dituntut (mandub). Ada hadis yang menyebut bahawa Rasulullah SAW menyuruh para sahabat melakukan puasa sunat dalam bulan Al-Ashhur Hurum. Berpuasa dalam bulan Rejab adalah dituntut tetapi tiada satu hadis sahih yang mebuktikan bahawa berpuasa pada hari-hari tertentu dalam bulan Rejab akan mendapat ganjaran istimewa.

Dalam satu riwayat datang seorang lelaki dari Bahilah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya,
“Ya Rasulullah, saya adalah lelaki yang datang menemui anda pada tahun pertama” Ujar Nabi SAW, “Kenapa keadaanmu telah jauh berubah padahal dahulunya kelihatan baik? Kata lelaki itu, “Semenjak berpisah dengan anda, saya tidak makan hanyalah di waktu malam” Maka tanya Rasulullah SAW “Kenapa kamu seksa dirimu?” Lalu sabdanya “Berpuasalah pada bulan sabar - yakni bulan Ramadan dan satu hari dari setiap bulan!” Tambahlah buatku kerana saya kuat melakukannya! Ujar lelaki itu. “Berpuasalah dua hari! Sabda Nabi. “Tambahlah lagi!” Mohon lelaki itu pula. Maka Nabi SAW bersabda “Berpuasalah dalam bulan suci (haram) lalu berbukalah! (kemudian diulangi sebanyak tiga kali) sambil mengucapkan itu Nabi SAW memberi isyarat dengan jari-jarinya yang tiga, mula-mula digenggam lalu dilepaskan”

(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Baihaqi dengan sanad yang baik).

Berpuasa dalam bulan-bulan haram iaitu empat bulan, tiga bulan berturut-turut (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan satu bulan berasingan (Rejab) adalah sebaik-baik bulan untuk berpuasa selepas Ramadan. Sebaik-baik bulan haram ialah Muharram diikuti dengan Rejab dan seterusnya. Keempat-empat Imam Mazhab sepakat mengatakan bahawa berpuasa dalam bulan haram sangat dituntut namun adalah makruh memilih bulan Rejab sahaja untuk berpuasa.
Terdapat satu hadis yang bertaraf hasan menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah berpuasa (di dalam bulan Rejab) lebih banyak daripada bulan Sya’aban dan bila ditanya, baginda menyatakan, kerana ia (Rejab) bulan pengampunan di antara Rejab dan Ramadan. Ada sebahagian masyarakat berpuasa berturut-turut (Rejab, Sya’aban dan Ramadan) di ketiga-tiga bulan. Ini bukannya dari Rasulullah SAW, bukan dari sahabat dan salafussoleh. Yang terlebih baik ialah berpuasa sebahagiannya atau berpuasa selang sehari dan bukan berterusan. Inilah sunnah Rasulullah SAW.

(http://at-tibyan.blogspot.com/2008/07/bulan-rejab-menurut-perspektif-al-quran_23.html)

Apakah terdapatnya kesahihan fadilat khas berpuasa didalam bulan Rejab?

Disini nyatakan pandangan para ulama' mengenai kesahihan fadilat Rejab.

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.
a. Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.

Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yg sahih dan beliau melihat bahawa hadis-hadis yg didatangkan mengenai fadilat didalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:[3]
"Allah Subhanahu Wa Ta'ala memberi fadilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yg qath'i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta keatas Nabi Muhammad saw, dan banyak hadis-hadis timbul mengenai fadilat bulan Rejab, dimana statusnya antara Dha'if dan Mawdhu', dan tidak thabit dari pembawanya (naqal)."

Menurut Al-Saqr lagi bahawa:

"Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan didalam risalahnya dengan topiknya : Penjelasan yg datang didalam Fadilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadis menyebut mengenai Fadilat-Fadilat Rejab, Puasa dan Solat didalamnya. Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu"
b. Fadilat Rejab berada bersama dengan Fadilat bulan-bulan haram yg lain.

Fadilat Rejab secara umumnya berada didalam Fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman Allah didalam surah Taubah:36 dan terdapat juga Hadis Sahihin mengenai Hijatul Wada', didalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu : Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab. Dimasa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah swt.

c. Berpuasa hari pertama atau yg lain sama sahaja fadilatnya.

Berkata Al-Saqr lagi bahawa:

"Amalan Saleh didalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya didalam bulan-bulan Haram, yg didalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir. Berkata Ibnu Hajar : 'Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan'. "

Al-Saqr memetik beberapa hadis da'if dan palsu, diantaranya ialah:

"Sesungguhnya didalam syurga ada sebuah sungai yg dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa sati hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu"
- hadis ini Dha'if.

"Barangsiapa berpuasa sehari didalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yg berpuasa didalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yg berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" - hadis ini Dha;if. "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku" - Hadis ini palsu.

d. Tidak ada solat khas didalam Rejab.

Daripada Hadis yg tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat :

"Barangsiapa yg solat Magrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab."
- Itu adalah hadis Mawdhu'


e. Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:

Mengenai fadilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya didalam Islam. Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yg berlaku dibulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.

"Ini adalah manusia yg prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama didalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya didalam agama, dan ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini. Adalah lebih aula didalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yg berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mngingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M). Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran darinya, dimana orang Islam menganggapnya berlaku didalam bulan Rejab. Allah yg Maha Mengetahui."

2] Sheikh Dr Yusuf Al-Qardhawi

a. Fadilat Rejab sama dengan fadilat bulan-bulan haram yg lain

Dr. Yusuf Al-Qardhawi mengatakan bahawa fadilat Rejab adalah sama seperti yg terdapat didalam 3 bulan-bulan Haram yg lain. Katanya [4]:

"tidaklah ada kesahihan didalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa Allah swt telah menyebut didalam kitabnya - didalamnya ada 4 bulan haram - Al-Taubah:36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Itulah bulan-bulan yg mempunyai fadilat. Tidak terdapat Hadis Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdal, melainkan Hadis Hasan: Sesungguhnya Nabi saw banyak berpuasa didalam Sya'ban.."

b. Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakkannya lemah dan palsu.

Beliau juga menyatakan bahawa hadis-hadis mengenai fadilat-fadilat khas Rejab kebanyakkan merupakan Hadis Palsu atau pun yg sangat Lemah tarafnya:

"Hadis ini dimaklumkan sebagai sebuah hadis yg mengandungi fadilat Rejab - "Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku"..... Hadis in mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama' mengatakan hadis ini Palsu! .... yakni penipu..Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Disitu ada hadis yg mengatakan terdapat Fadilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini.... Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan. Dari ini satu tanda satu penipuan didalam Hadis yg memasukkan perkara yg berlebih-lebihan...."

c. Ganjaran yg dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.

Pada beliau ganjaran-ganjaran yg dinyatakan didalam Hadis Palsu itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan. Ini merupakan satu pendustaan yg amat besar. Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri. Katanya :

"Berkata ulama' : Janji untuk mendapatkan ganjaran yg besar diatas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yg pedih keatas dosa kecil? Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadis yg bohong."

d. Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadis yg Palsu

Dr Yusuf Qardhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadis yg diberikan kepada kita. Tidak ada alasan yg boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yg banyak dipasaran mengenai taraf sesuatu hadis. Kata beliau :

"Ulama' telah memberi amaran contohnya keatas Hadis Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya...sesungguhnya telah datang hadis :"Barangsiapa mereka-reka Hadis difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong....."(Riwayat Muslim didalam muqadimahnya yg Sahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadis Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadis itu dari sumbernya .... maka disana ada Kitab Hadis yg Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadis Palsu, contoh Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb.........."

3. Ibnu Hajar Al-Asqalani

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan. Kenyataan ini dapat di lihat didalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:

"Ibnu Hajar didalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadis-hadis yg melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yg berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad(niat) yg bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yg dia berpuasa, atau pada malan tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yg dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yg diletakkan dan tidak mengapa baginya. Maka jika ianya di khaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu dialam hadis Nabi saw bersabda :"Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail". - riwayat Muslim. Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainya yg didalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cederung menegahnya, dan sebagaimana yg dinaqalkan oleh Abi Bakar Al-Thorthorshi didalam bukunya "Bid'ah wa hawadith" bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:
1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.
2. Menjadikan ia seperti kefarduan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.
3. Kerana puasa ini mempunyai fadilat khas dan puasa-puasa yg lainnya
kalau dengan itu apa yg dijelaskan oleh Rasulullah saw, : berkata Ibnu Dihya : "Puasa adalah amalan kebajikan"., Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar."

4] Dr. Sayid Saabiq

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq didalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa :

"Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yg berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram".

Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh[6].

------
Hadis-hadis fadilat Rejab yg palsu atau dhaif

Dibawah ini disenaraikan beberapa contoh hadis-hadis palsu berkenaan dengan fadilat Rejab:[7]

a. Barang siapa yg mengerjakan solat Magrib pada permulaan malam Rejab kemudian dia mengerjakan 20 rakaat dengan membaca surah Al-Fatihah dan Qul Hu Allahhu Ahad pada tiap-tiap rakaat satu kali dan dia memberi salampada solat ini dengan 10 salam, maka tahukah kamu apa ganjaranya?

-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Diriwayatkan oleh Al-Jauzaqanniy dari Anas, kemudian beliau berkata hadis ini adalah Palsu.

b. Barang siapa yg melakukan solat pada malam Nisfi Rejab 14 rakaat dengan membaca Alhamdu 1 kali pada rakaat, Qul Hu Allahhu Ahad 20 kali, Qul A'uuzu Birabbil Falaq 3 kali, Qul A'uuzu Birabbin Nas 3 kali kemudian apabila dia selesai bersolat hendaklah ia berselawat keatas ku 10 kali kemudian dia bertasbih, bertahmid dan bertahlil 30 kali, maka Allah akan mengutuskan kepadanya 1000 malaikat.

-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya terdapat beberapi Rawi yang majhul.

c. Barang siapa yg berpuasa sehari pada bulan Rejab (ganjarannya) sama dengan puasa sebulan.

-Hadis sangat Dhaif.

*Diriwayatkan oleh Al-Khathiib dari Abi Dzar.
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama: Al-Furaat bin As-Saaib, dia adalah seorang rawi yg Matruk.
*Ibnu Hajar Al-Asqalaaniy telah menjelaskan bahawa para ahli hadis telah sepakat, bahawa hadis ini diriwayatkan dari jalan Al-Furaat bin As-Saaib, sedangkan rawi ini adalah seorang yg Dhaif.

d. Barang siapa yg berpuasa 3 hari pada bulan Rejab, dituliskan baginya ganjaran puasa satu bulan dan barang siapa yg berpuasa 7 hari pada bulan Rejab maka Allah tutupkan daripadanya 7 pintu-pintu api neraka. Dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari pada bulan Rejab maka Allah membuka baginya 8 buah pintu dari pintu-pintu syurga, dan barang siapa yg berpuasa separuh dari bulan Rejab maka dia akan di hisab dengan hisab yg mudah.

-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Tidak disahkan hadis ini kerana rawi yg bernama Abaan merupakan rawi yg Matruk.
*Selain dari itu ada rawi yg bernama Amar bin Al-Azhar yg sangat suka memalsukan hadis.

e. Barang siapa yg berpuasa satu hari pada bulan Rejab dan bangun pada malam harinya mengerjakan solat malam maka Allah akan membangkitkan dia pada hari Kiamat dalam keadaan aman, dan dia berjalan di atas sirat dalam keadaan Tahlil dan Takbir.

-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam sanadnya ada rawi yg bernama Ismaail, dia adalah seorang rawi yg suka berdusta.

f. Barang siapa yg menghidupkan satu malam dari bulan Rejab mengerjakan solat malam dan berpuasa padanya satu hari, maka Allah memberi makan kepadanya dari buah-buahan Syurga.

-Hadis ini Mawdhu' (palsu)
*Dalam Kitab Al-Laaly dijelaskan bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Hussain bin Ali. Kemudian diterangkan bahawa hadis ini Mawdhu'.


Bagaimana beramal didalam bulan ini?


a. Shiekh Mahmud Al-Sya'rawi[8] didalam menjawab satu pertanyaan mengenai apakan bulan dari bulan-bulan 'am yg afdal manusia berpuasa selepas bulan Ramadan, beliau memetik hadis berikut diriwayatkan oleh Musnad Ahmad :

"Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah saw, katanya : Bulan mana kamu perintahkanku berpuasa selepas Ramadan? Maka Rasulullah saw berkata : Jika aku berpuasa selepas Ramadan, maka berpuasalah dibulan Haram, maka sesungguhnya didalamnya dari Taubat Allah swt keatas satu kaum, dan terdapat taubat didalamnya untuk satu kaum yg lain"

Jelas disini menunjukkan bulan-bulan haram ini disunatkan berpuasa dan juga terdapatnya keampunan Allah swt didalam bulan-bulan ini.


b. Bekas Mufti besar Arab Saudi, Shiekh Abdul Aziz Bin Baaz apabila ditanya berpuasa pada bulan-bulan haram, Beliau menjawab [9]:

"Bulan Muharam dari segi syara' dibolehkan berpuasa dengannya dan begitu juga Sya'ban, disana terdapatnya 10 Zulhijjah, bukanlah ada dalil disan keatasnya, akan tetapi berpuasa dengannya TANPA ber'itiqad yg khusus (khas) atau pribadi, maka tidaklah menjadi masalah."

Bagi bulan Allah Al-Haram tersebut, Rasulullah saw pernah bersabda : ((Seafdal-adfal berpuasa selepas ramadan ialah dibulan Allah Al-Haram)). Maka adalah baik bagi berpuasa, atau berpuasalah pada 9, 10 dan 11, itulah yg baik, begitu juga dengan Sya'ban dimana Nabi saw berpuasa dengannya"

c. Seorang Ulama' Islam dari negara Syria yg terkenal pada masa kini, Dr Wahbah Zuhaily mengatakan bahawa, kebanyakkan iman empat mazhab (Syafiie, Hanbali, Maliki dan Hanafi) bersetuju mengenai terdapatnya amalan berpuasa sunat didalam bulan-bulan haram ini, cuma ia berbeza pendapat mengenai cara implementasinya. kata Dr Wahbah Zuhaily[10] :

Keutamaan berpuasa pada bulan-bulan ini terdapat disisi Mazhab Maliki dan Syafiie, dan mazhab Hanbali berpuas hati dengan keputusan sendirinya memberi keutamaan berpuasa dibulan Haram, pada mereka itulah puasa yg afdal selepas Ramadan, telah bersabda Rasulullah saw : ((Seafdal solat ialah pertengahan malam, dan seafdal puasa selepas bulan Ramadan ialah di bulan Allah Al-Haram)). Seadal puada dibulan haram ialah Hari Al-Asyura', sebagaimana diantaranya. Dan berkata mazhab Hanafiah : Sunat berpuasa didalam bulan-bulan Haram, iaitu berpuasa 3 hari dari semuanya iaitu :- Hari Khamis, Jumaat dan Sabtu."

d. Shiekh Abdul Rahman Al-Jaziry didalam buku Kitab Fikh Empat Mazhab[11] juga memetik persetujuan 4 mazhab ini mengenai puasa dibulan-bulan haram, kata nya:

"Mengenai sunat berpuasa dibulan Rejab dan Sya'ban, Imam-imam ini telah bersetuju dengannya, cuma terdapat khilaf dengan hanbali.........
Hanbali : Menetapkan puasa Rejab (secara tunggal) adalah makruh, melainkan jika ia berbuka (tidak berpuasa) secara selang-seli, maka tidaklah Makruh."

e. Panelist fatwa IslamOnline, Shiekh Dr Yusuf Al-Qaradawi, ketika diminta memberi fatwa mengenai apakah berpuasa didalam bulan Rejab itu sunat atau bid'ah, beliau telah menjawab [12]:

"Berpuasa didalam bulan adalah maqbul dan mustahab, keatas semua perkara. Tetapi bukanlah datang dari Rasulullah saw bahawa beliau berpuasa satu bulan penuh, melainkan bulan Ramadhan. Beliau banyak berpuasa didalam bulan Sya'ban, tetapi tidak berpuasa sepenuhnya, dan itulah sunnah nabawiyyah ... Beliau berpuasa dan berbuka disetiap bulan, seperti riwayat mengatakan : ((Beliau berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, Beliau berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa)) (Riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka beberapa golongan manusia berpuasa seluruh bulan Rejab, sebagaimana yg kita lihat sebelum ini, Aku telah lihat beberapa orang berpuasa bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari didalam bulan Syawal, dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh", selepas berbuka, mereka akan menjadi perayaan pada hari yg ke 8 dari Syawal....Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling berhubungan, mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari A'id. INI TIDAK DATANG DARI NABI SAW, atau pun dari para sahabat atau pun dari Al-Salaf Al-Saleh.. maka mereka berpuasa sehari dan berbuka sehari. Tidak ada berterusan didalam puasa. Semua kebaikan adalah menurut Salaf dan keburukan adalah dari rekaan para Khalaf. Barangsiapa yg ingin ber'iitiba' dan inginkan ganjaran, maka ia harus mengikur Nabi saw dimana tidak berpuasa sepenuhnya didalam Rejab, dan tidak berpuasa sepenuhnya didalam Sya'ban. Dan ini adalah yg lebih utama. Wa Billahi Tawfiq."

Beliau tegas mengatakan bahawasanya disunatkan berpuasa pada bulan-bulan haram, tetapi tidak lah sepenuh bulan Rejab dan Sya'ban, kerana ini tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, atau sahabat-sahabatnya ataupun para ulama' Salaf.

Puasa-Puasa sunat yg lain

Syeikh Muhammad Mutawali Al-Sya'rawi didalam fatwanya[13] menjawab persoalan mengenai puasa-puasa sunat, beliau telah menyenaraikan 8 jenis puasa yg beliau sifat sebagai :
"Puasa yg orang Islam lakukan bagi mendekatkan diri kepada Allah"

Puasa-puasa sunat (suka rela)

"1. Hari Arafah (9 Zulhijjah kepada mereka yg tidak menunaikan Haji.
2. Hari Asyura', disitu ada hari 9 atau mana-mana hari 9 atau 10 Muharam.
3. 6 hari didalam bulan Syawal.
4. Hari-hari Putih didalam bulan-bulan Arab (islam) iaitu :- hari13,14 dan 15.
5. Berpuasa pada hari Isnin dan Khamis didalam setiap minggu.
6. Berpuasa didalam bulan-bulan haram iaitu :- Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.
7. Berpuasa mana-mana dari 9 hari dari bulan Zulhijjah, dari 1 hingga 9 Zulhijjah.
8. Berpuasa penuh didalam Sya'ban atau dengan banyaknya. "

Para Fuqaha' berpendapat jika seseorang itu ingin melakukan puasa sunat, tetapi dia masih mempunyai baki puasa wajib, hendaklah ia mengqada'kannya. Bahkan jika ia mempunyai kifarat dan nazar, maka hendaklah dia melakukannya puasa itu dahulu.[14]

Kesimpulan

1. Hadis-Hadis Bulan-Bulan Rejab kebanyakkannya adalah Mawdhu (Palsu). Pendustaan terhadap Rasulullah saw. (Al-Saqr)
2. Kita dilarang memilih-milih hari atau malam yg tertentu sahaja untuk melakukan ibadat khusus.(Hadis Nabi saw)
3. Tidak ada fadilat KHAS yg ditujukan pada bulan Rejab, yg ada cuma fadilat umum kepada keempat-empat bulan-bulan haram.(Al-Saqr, Al-Qardawi)
4. Tiada ada solat dan zikir khas untuk bulan Rejab (Al-Saqr, Al-Qaradawi).
5. Bulan Rejab seperti bulan-bulan Haram yg lain disunatkan melakukan Puasa dan bertaubat. (Al-Sya'rawi)
6. Keadah berpuasa didalam bulan-bulan haram ialah:
- hari yg ke 9,10,11 didalam bulan Muharam (Bin Bazz)
- berpuasa hari Khamis, Jumaat, Sabtu (Hanafiah - Al-Zuhaily)
- Berpuasa pada bulan Rejab tidak sepenuhnya dan Sya'ban tidak sepenuh bulan (Al-Qardhawi)
- berpuasa pada hari Assyura' (10 Muharam) dan Hari Arafah (9 Zulhijjah).
7. Rejab tidak mempunyai kelebihan dari bulan-bulan yg lain, kecuali kelebihan bulan-bulan Haram.(Syed Sabiq)
8. Tidak boleh HANYA berpuasa dibulan Rejab sahaja, dimana 3 bulan-bulan yg Haram yg lain tidak langsung diberi keutamaan melakukan puasa (MazhabHanbali- Al-Jaziry)
9. Tidak ada dalil yg mengatakan bahawa menziarah kubur didalam bulan Rejab mempunyai kelebihannya.
10. AWASIlah dari terlibat menyebarkan HADIS-HADIS PALSU, kerana ditakuti kita adalah sebahagian dari mereka yg MENDUSTAKAN Rasulullah saw. (Na'uzubillahhu min zalik).

(http://bicaramuslim.com)

-Wallahu'alam-

5 comments:

محمد حذوان بن حميدان said...

perkongsian ilmu yg amt berguna..
syukran ustazah.. (^_^)

...wardahdiana... said...

to hazwan..

insyaAllah..
afwan..
pe yg baik,perlulh dikongsi..
kan bos?
tp,post bos punye..
lg hebat..

محمد حذوان بن حميدان said...

x hbt pn..stiap org mmpunyai kcndrungan dan kreativitinye msg2..stiap itu adelah anugerah ALLAH.

'hidup pada melengkapi..' (^_^)

...wardahdiana... said...

"hidup pd melengkapi??.."
hurmm..
btul jge tu..
trademark baru bos la ye?..
bgus2..

Mohd Fakhrurrazi said...

mohon share^_^